Search In Woman Talk

Sunday 5 December 2010

Daphne Iking pasrah

Pelakon akui jalin cinta jejaka Melayu
PERNAH dulu hidupnya resah dan sarat perasaan benci. Daphne Iking sentiasa diburu kebingungan. Tatkala disentuh, dia bingkas membela diri lantaran bimbang persepsi masyarakat yang mudah menjatuhkan hukuman apabila dijerat isu kontroversi. Tatkala maruah diri dipermainkan, satu persatu episod hidupnya ditelanjangkan kepada khalayak, mana mungkin Daphne mahu membisu dan membiarkan harga dirinya ditertawakan.

"Saya cuma fikirkan untuk menyelamatkan maruah diri. Tidak mahu keluarga malu. Semakin diasak, bertambah hebat saya mempertahankan diri. Lama kelamaan saya jadi penat. Saya pasrahkan diri kepada Tuhan untuk menentukan keadilan. Perlahan-lahan Dia akan membuka jalan dan hari ini, saya jadi lebih tenang.
"Biarpun episod keruntuhan rumah tangga saya masih diperkatakan, saya tidak lagi membiarkan semua kekalutan itu menguasai diri.

"Saya lepaskan segala masalah itu kerana tidak mahu lagi ia memberi tekanan dan terus mempengaruhi hidup ini," kata pemilik nama lengkap, Daphne Eleanor Iking ini positif.

Cukup sudah segala hujah yang pernah dilontarkannya suatu ketika dulu. Hari ini, wanita keturunan Kadazan-Dusun dan Murut itu enggan lagi menoleh kembali kepada luka semalam.

Daphne, 31, cuma mahu mengenang segala yang manis sepanjang dua tahun berkongsi hidup dengan Ryan Chong. Mengenang semua yang manis, kata Daphne, memberi kebahagiaan kepadanya.
Masakan kemanisan itu akan sirna kerana sehingga hari ini, Daphne masih menjalin hubungan yang baik dengan keluarga bekas suaminya.

Malah akui pengacara The Breakfast Show siaran ntv7 itu, anak perempuan tunggalnya, Isobel Daniella atau Bel, 3, turut mewarisi sifat positif yang diterapkan keluarga bekas suaminya.

"Bel membesar menjadi anak yang sangat berdisiplin. Saya harus berterima kasih kepada keluarga bekas mentua yang menerapkan semua elemen positif itu kepadanya.

"Saya tidak mahu membohongi hati yang masih bersedih kerana semuanya bermula baik, tetapi kemudian bertukar menjadi sebaliknya.

"Barangkali Tuhan menjanjikan sesuatu yang lebih baik kepada saya dan Bel, lalu kami terpaksa lalui kesedihan itu dulu. Tidak mengapa kerana saya tahu bekas suami juga sedang bahagia dengan jalan hidup yang dipilihnya," kata Daphne mengenai lelaki yang kini bermastautin di China itu.

Khalayak sudah lunak dengan kes tuntutan bekas suami Daphne yang mengemukakan saman peribadi terhadap dakwaan ahli perniagaan, Darren Choy, 45, kerana memikat wanita itu ketika masih bergelar isterinya dengan niat membolehkannya melakukan persetubuhan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Choy antara Julai 2007 hingga September 2008 dan kes berkenaan masih dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Meniti hidup sebagai ibu tunggal, dilengkapi seraut paras jelita dan petah berbicara, tidak sulit untuk Daphne memenangi hati lelaki yang ingin mendekatinya.

Bagaimanapun, wanita dari Keningau, Sabah itu berkata, tidak semudah itu untuk dia kembali menyerahkan hatinya kepada lelaki selepas melayari gelora hidup yang menguji. Memilih untuk mengabdikan diri sebagai anak seni juga membuatkan Daphne memperincikan kehadiran lelaki yang cuba membuka pintu hatinya.

"Di luar sana terlalu sukar untuk menemui lelaki sejati yang ikhlas menerima saya. Ada yang menarik diri apabila mengetahui saya tidak hidup keseorangan, sebaliknya ditemani seorang anak. Susahnya mencari lelaki yang jujur menyayangi saya dan pada masa turut mencurahkan kasih sayangnya kepada Bel. Sulit bagaimanapun, saya masih ingin kembali berumah tangga.

"Saya percaya akan ada lelaki terbaik yang bakal datang dalam hidup kami berdua," kata Daphne memberitahu dia cuba menolak untuk menjalin percintaan jarak jauh.

Memancing semakin dalam ke dasar hatinya, Daphne tidak mampu lagi mengelak dan agak malu-malu memberitahu dia sebenarnya sedang menjalin cinta dengan jejaka Melayu.

Enggan mendedahkan nama jejaka yang berjaya mengetuk kembali pintu hatinya, Daphne berkata, lelaki itu sentiasa berada di sisinya tatkala dirinya memerlukan sokongan.

Kembali melewati kemanisan bercinta pada usia matang mengujakan Daphne kerana perbincangan mereka sering menyentuh isu serius dan dewasa.

"Dia bukan hanya kekasih tetapi teman yang sentiasa bertolak ansur dan memahami diri saya. Kami sedang melalui fasa percintaan yang matang, bukan lagi didorong nafsu atau keinginan semata-mata. Lelaki berkualiti sepertinya tidak ramai namun saya tidak mahu terlalu memberikan tekanan. Saya cuma mengikut arus waktu. Dia juga tidak pernah memaksa, membuatkan saya bertuah kerana dipertemukan dengannya," kata Daphne.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Free Toolbar