Search In Woman Talk

Thursday 2 December 2010

Rhythms..gabung muzikal,promosi &perlancongan

Sesuai sangatlah dengan penerbitnya, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) apabila mementaskan muzikal istmewa Rhythms mulai 17 hingga 19 Disember depan di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Kuala Lumpur kerana intisarinya mahu mempromosikan tempat pelancongan yang ada di negara ini.


Muzikal Rhythms arahan Zuhairi Ibrahim itu memang dirangka khusus untuk terikan pelancong yang sudah berada di Malaysia tanpa meninggalkan unsur komersial untuk penonton tempatan. Sebab itu Mila turut ditampilkan untuk menyuntik unsur komersial. Apa kelainan Rhythms?

Pengarahnya Zuhairi Ibrahim berkata: " Idea asalnya dicetuskan oleh Menteri Pelancongan sendiri semasa kami ke Singapura beberapa bulan lalu. Kami ada menonton sebuah persembahan sarkas dan Menteri mengusulkan untuk mempersembahkan sebuah muzikal yang ada elemen mempromosikan pelancongan negara.


"Dari situlah tercerusnya idea membuat pementasan yang menceritakan pasal destinasi pelancongan dan apa yang menarik di negara kita. Kita mahu memberi pendedahan kepada pelancong yang sudah ada di sini."


Pementasan itu dibikin dalam tujuh segmen dengan setiap segmen ada unsur khas yang diceritakan melalui gerak tari, muzik dan visual.  Overture memuatkan persembahan video, gendang pelbagaikaum serta alat muzik utama seperti serunai, bansuri, sape, gong dan lain-lain.


"Segmen menceritakan pasal homestay saya visualkan melalui persembahan tarian kontemporari yang melambangkan suasana desa dan kehidupan nelayan serta masyarakat desa. Ada juga paparan video homestay-homestay yang ada di Malaysia.
"Segmen taman-taman awam juga akan dipaparkan melalui gerak tari dan paparan video. Saya tampilkan muzik yang melambangkan masyarakat Cina untuk segmen ini," kata Zuhairi.
 

Untuk segmen suasana kehijauan pula pengarah itu memilih latar Borneo yang terkenal dengan keindahan hutan hujan tropika. Selain itu ada juga segmen-segmen seni kontemporari, acara anjuran kementerian (Citrawarna, Pesta Makanan dan lain-lain acara).


"Seramai 51 pelakon, pemuzik dan penari akan terlibat dalam pementasan ini. Biasanya pemuzik akan diletakkan di bawah untuk menjadi pengiring. Tapi dalam pementasan ini mereka juga ada peranan dan akan berada di atas pentas bersama pelakon lain.
"Mila dan lima watak akan bertindak selaku pencerita dalam pementasan ini. Watak Mila dan rakan-rakanlah yang akan membawa penoton mengembara ke seluruh Malaysia," kata Zuhairi.


Sementara itu Mila teruja apabila diberi peranan dalam pementasan itu kerana tujuannya mahu mempromosikan pelancongan negara. Mila menganggap pementasan ini sebagai sebuah pementasan yang baik, sebab itulah dia menerima tawaran tanpa banyak bicara.
"Terima kasih kerana memilih saya untuk menjadi sebahagian daripada artis yang bakal menjayakannya," kata Mila yang akan berbahasa Inggeris dalam pementasan secara percuma itu..

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Free Toolbar